Sunday, March 29, 2009

Kambing Boer ganti Tongkat Ali

Berita Harian, 25 Julai 2004

BUTTERWORTH: Lelaki yang mengharapkan Tongkat Ali bagi memberikan `tenaga tambahan' kini boleh mencuba daging kambing Boer yang diternak di beberapa tempat di negara ini bagi mendapatkan tenaga yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata keupayaan kambing jantan Boer mengawan dengan kira-kira 50 ekor kambing betina pada musim mengawan (kira-kira dua bulan) seharusnya menyebabkan dagingnya mampu menawarkan `khasiat' kepada mereka yang memakannya.
Tambahan pula katanya, akar Tongkat Ali semakin pupus berikutan permintaan yang meningkat, sedangkan kambing Boer boleh membiak.
"Saya tak faham kenapa ada di antara kita yang kata tak boleh makan kambing kerana takut pening kepala. Tapi, bila berada di Makkah, kita boleh hentam (makan) kambing setiap sehari selama sebulan."
Ada juga orang kita yang sanggup beli biawak pasir (dhab) dari negara Arab, semata-mata bagi menambahkan tenaga. Saya fikir lebih elok kita cuba (makan) kambing Boer, yang boleh mengawan sehingga 50 ekor pada satu-satu masa,” katanya ketika berucap di Seberang Jaya, dekat sini, semalam. Sambutan selama tiga hari sehingga Isnin ini, dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abdul Rashid Abdullah.
Sementara itu, Pengarah Risda Pulau Pinang, Adnan Ahmad yang ditemui selepas itu berkata, pihaknya kini menternak kira-kira 350 ekor kambing Boer menerusi projek perintis di Paya Keladi, Seberang Prai Utara (SPU).
Katanya, kambing Boer adalah kambing baka kacukan yang berasal dari Australia dan kini turut diternak oleh Risda di Kampung Awah, Temerloh, Pahang dan Kedah.
Beliau berkata, pihaknya akan menternak kambing berkenaan selama kira-kira tiga bulan, sebelum diagihkan kepada petani dan ia boleh dijual apabila berumur sembilan bulan."Kambing jenis ini memang mempunyai kekuatan yang lebih kerana boleh mengawan dengan kira-kira 50 ekor kambing betani pada musim mengawan selama dua bulan, berbanding 20 ekor bagi kambing biasa,"
katanya sambil menambah kambing Boer hidup dijual dengan harga kira-kira RM12 sekilogram, manakala yang diproses RM30 sekilogram.

1 comment:

  1. Tuan, kambing boer utk pelihara ada tak. Utk 10 ekor betina 1 jantan

    ReplyDelete